Bincangkan kepentingan Perjanjian Kanagawa dan Perjanjian Bowring ke atas negara Jepun dan Thailand.

| Monday, May 24, 2010

Pengenalan

Abad ke 19 menandakan permulaan kepada persaingan kuasa-kuasa imperialis Barat untuk meneroka dan menguasai bahan-bahan mentah di Asia. Jepun dan Thailand merupakan dua buah negara yang menjadi sasaran Barat untuk memperluaskan penguasaan mereka dalam bidang ekonomi. Termenterainya perjanjian Kanagawa dan Bowring bermakna berakhirlah dasar isolasi yang diamalkan oleh kedua-dua buah Negara tersebut. Perjanjian-perjanjian ini telah memberi kesan yang mendalam ke atas kedua-dua buah negara tersebut dalam hubungannya dengan negara-negara Barat

Isi

Perjanjian Kanagawa telah ditandatangani antara Jepun dengan Amerika Syarikat pada 31 Mac 1854. Dengan perjanjian ini bermakna Jepun dengan secara rasminya telah menamatkan dasar pemencilan yang diamalkan sebelum ini.

Perjanjian ini juga telah membawa kepada pembukaan beberapa pelabuhan iaitu Shimoda, Hakodate dan Nagasaki kepada Negara-negara barat. Kadar cukai import dan eksport ditentukan oleh Jepun, malah Amerika Syarikat diberi layanan istimewa dengan mendapat hak wilayah asingan.

Perjanjian Kanagawa juga dianggap sebagai perintis ke arah hubungan Jepun dengan kuasa-kuasa Barat yang lain dan ini terbukti daripada beberapa siri perjanjian yang telah ditanda tangani Jepun dengan kuasa-kuasa Barat yang lain seperti Perjanjian dengan British (1854), Perjanjian dengan Rusia (1855) dan Perjanjian dengan Belanda (1856)

Dengan adanya perjanjian-perjanjian yang sebegini bermakna Jepun mula menjalin hubungan diplomatic dengan Negara British, Amerika Syarikat, Belanda, Rusia dan Perancis. Tindakan sebegini terpaksa diambil demi menyelamatkan Negara Jepun dari kuasa asing seperti yang dialami Negara China dalam Perang Candu I. Malah dasar terbuka ini telah membawa menafaat yang besar kepada Jepun dalam pelbagai aspek seperti pentadbiran, ketenteraan, ekonomi dan social terutamanya semasa era pemerintahan Maharaja Meiji. Ini bermakna Negara Jepun merupakan sebuah Negara di Asia Timur yang terselamat daripada ancaman dan pencerobohan kuasa-kuasa Barat.

Walaubagaimanapun, pembukaan Jepun kepada kuasa-kuasa Barat telah menimbulkan beberapa masalah dalam Negara. Kedatangan orang-orang Barat yang semakin bertambah dan ini menimbulkan perasaan benci orang Jepun kepada orang-orang Barat yang akhirnya membawa kepada gerakan anti Barat

Perjanjian Kanagawa juga merupakan detik awal kepada kejatuhan Shogun Tokugawa. Kelemahan pentadbiran Shogun Tokugawa telah memberi kesempatan kepada Satsuma, Toza, Chosu dan Hizen untuk bangun menentang pentadbiran Syogun. Kuasa-kuasa Barat turut menyalahkan Syogun Tokugawa berikutan gerakan anti Barat. Desakan-desakan dan tekanan-tekanan yang dihadapi ini menyebabkan akhirnya Shogun Tokugawa meletakkan jawatan dan menyerahkan kepada Maharaja Meiji.

Di Thailand pula, Perjanjian Bowring yang ditandatangani antara Thailand dengan British telah menamatkan dasar pintu tertutup yang diamalkan selama ini. Malah Thailand telah membuat perjanjian perdagangan dengan Negara-negara lain seperti Belgium, Perancis, Rusia, Portugal dan Belanda.

Disamping itu sector ekonomi Thailand berkembang dengan pesatnya. Thailand telah menjadi pengeksport utama beras dan kayu jati. Pada masa yang sama Thailand turut mengimport alat-alat ganti jentera, peralatan pengangkutan besi keluli dan sebagainya. Kegiatan ekonomi moden yang pesat ini telah membawa kepada kemerosotan kegiatan ekonomi sara diri. Penguasan ekonomi Thailand oleh orang Cina mula merosot. Kegaitan monopoli perdagangan kini diambil alih oleh pedagang-pedagang British.

Perjanjian Bowring juga telah membawa kepada pengenalan system kewangan moden. System perbankan diperkenalkan bagi memudahkan kegiatan perdagangan. Mata wang Bath mula digunakan semasa pemerintahan Raja Mongkut. Perubahan susunan kewangan kerajaan Thailand telah mengubah system cukai dan menamatkan monopoli perdagangan oleh golongan bangsawan dan kerajaan Thailand.

Kesan Perjanjian Bowring ini telah membawa kepada lebih daripada dua puluh perjanjian antara Thailand dengan kuasa-kuasa Barat yang telah membawa kesan lain iaitu kuasa Barat boleh mendirikan konsul mereka, menyebarkan agama Kristian dan kapal-kapal boleh berlabuh di pelabuhan Thailand.

Pemerintah Thailand yang dikatakan berpandangan jauh ini telah menjalankan proses pembaratan, membuka peluang perdagangan dengan kuasa asing, menamatkan pemencilan menyebabkan Thailand satu-satunya negeri di Asia Tenggara yang berjaya mengekalkan kemerdekaannya.

Penutup

Perjanjian Kanagawa dan Perjanjian Bowring telah membawa lembaran baru kepada kedua-dua negara tersebut. Menerusi perjanjian-perjanjian ini Jepun dan Thailand telah menjadi sebuah negara yang moden dan mula menjalin hubungan diplomatik dengan kuasa-kuasa Barat atas prinsip persamaan taraf.

Huraikan kesan-kesan penghijrahan orang Cina ke Indonesia dan Filipina sehingga Perang Dunia Kedua

|

Pengenalan
Perkembangan ekonomi yang begitu pesat sekitar abad ke 19 telah berlaku kekurangan buruh untuk menggerakkan sektor ekonomi di Asia Tenggara. Keadaan ini menjadi bertambah rumit apabila penduduk tempatan tidak berminat untuk melibatkan diri dalam sektor ekonomi moden. Bagi mengatasi masalah buruh ini pihak Barat telah membawa masuk buruh asing dari China dan India. Belanda telah membawa masuk buruh Cina ke Indonesia untuk menjalankan aktiviti perlombongan bijih timah, sementara pemerintah Sepanyol di Filipina telah membawa orang Cina untuk menjalankan kegiatan ekonomi moden. Bagaimanapun kedatangan buruh asing ini telah menimbulkan pelbagai kesan dari sudut politik, ekonomi dan sosial.
Isi
Kedatangan orang Cina ke Indonesia telah membawa kebaikan kepada pemerintah Belanda kerana kegiatan ekonomi berkembang dengan balk, tetapi dalam masa yang sama telah menimbulkan ketidakpuasan hati kepada penduduk tempatan. Pada peringkat awal kegiatan ekonomi orang Cina hanyalah dalam aktiviti perburuhan di estet estet Belanda. Bagaimanapun menjelang pertengahan abad ke 19, orang Cina telah menceburkan diri dalam pelbagai aktiviti ekonomi terutamanya perdagangan. Mereka mula menjalankan kegiatan pengangkutan feri, perjudian dan sebagainya. Pendek kata orang Cina telah berjaya menguasai ekonomi Indonesia malah kekayaan mereka melebihi kekayaan penduduk pribumi. Menyedari ancaman daripada penduduk pribumi dan bagi menjamin perniagaan mereka dilindungi, orang Cina telah menubuhkan Dewan Perniagaan Cina pads tahun 1908.
Dari sudut sosial pula, orang Cina telah menubuhkan sekolah Cina untuk memberi pendidikan kepada anak-anak mereka. Ini sudah tentu memberi kesan ke atas sistem pendidikan negara Indonesia. Bagaimanapun sistem persekolahan tersebut menggunakan kurikulum Belanda. Tujuan Belanda berbuat demikian adalah untuk menyekat pengaruh sekolah Cina dan cubs mengurangkan penguasaan orang Cina di Indonesia. Perkembangan ini telah mendapat bantahan daripada kerajaan negara China dan Persatuan China Seberang Laut.
Dari segi politik, orang Cina juga terlibat dalam bidang pentadbiran. Apabila Belanda menubuhkan Volsksraad pads tahun 1918, orang Cina telah memainkan peranan penting dalam Dewan tersebut. Suara mereka didengar dalam Dewan perwakilan demi memperjuangkan hak dan kepentingan mereka. Orang Cina juga terlibat dalam gerakan nasionalisma. Walaupun gerakan mereka menjurus kepada perkembangan nasinalisme negara asal mereka, namun ini telah memberi kesedaran kebangsaan orang Cina di Indonesia dengan wujudnya pertubuhan seperti Persatuan Orang Cina dan Kelab pengembara Nanyang. Pertubuhan ini giat mengadakan kempen kesedaran di kalangan orang Cina. Walau bagaimanapun kegiatan mereka ini disekat oleh Belanda kerana bimbang akan terbentuknya kerjasama antara orang Cina dengan golongan nasionalis Indonesia.
Kedatangan orang Cina di Filipina telah membawa kesan yang besar terhadap perkembangan ekonomi Filipina. Orang Cina di Filipina melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti ekonomi seperti perniagaan borong dan runcit, perlombongan, perbankan dan pertanian. Dalam perniagaan beras, orang Cina menguasai lebih 2000 daripada 2500 kilang beras yang terdapat di Filipina. Selain itu mereka juga terlibat dalam industri pembalakan, kilang garam, dan juga sebahagian besar kilang¬-kilang kecil dan sederhana yang mengeluarkan barangan kulit, tembakau dan pemprosesan makanan.
Semasa Filipina di bawah Amerika Syarikat, orang Cina merupakan pemodal kedua terbanyak dalam bidang perbankan selepas Amerika Syarikat dengan modal sebanyak 100 juta dollar AS. Mereka juga terlibat dalam penerokaan tanah-tanah kawasan sungai dan kampung-kampung tepi pantai di Kepulauan Selatan Filipina.
Kedatangan orang Cina di Filipina juga telah memberi kesan kepada sistem pendidikan di Filipina dengan terbinanya sekolah-sekolah Cina sekitar pertengahan abad ke 19. Semasa penjajahan Sepanyol terdapat dua jenis pendidikan sekolah Cina iaitu sekolah yang didirikan oleh mubaligh kristian dan sekolah yang didirikan oleh orang Cina. sekolah Cina yang pertama di Filipina ialah Anglo Chinese. Kebanyakan pelajar diajar tentang buku-buku klasik Cina dan tulisan Cina. Sehingga abad ke 20 terdapat 58 buah sekolah Cina di seluruh Filipina. Kebanyakan sekolah ini dibiayai oleh Dewan Perniagaan Umum Cina
Kemasukan orang Cina telah melahirkan apa yang dipanggil golongan Mestizo. Golongan ini muncul hasil perkahwinan campur antara orang Cina beragama Kristian dengan penduduk tempatan yang berketurunan Tagalog. Golongan ini diberikan beberapa keistimewaan misalnya diberi tanah yang dikecualikan daripada cukai. Mereka muncul sabagai kuasa ekonomi yg berpengaruh di Filipina malah menjadi orang tengah antara pengimport barat dengan pengeluar Filipina. Mereka juga menguasai perdagangan antara pulau-pulau di Filipina.
Kesimpulannya kedatangan orang Cina di Filipina dan Indonesia telah memberi kesan dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat tempatan. Kesan yang paling penting ialah penguasaan ekonomi orang Cina ke atas kedua-dua buah Negara tersebut. Keadaan ini sudah tentu memberi saingan kepada penduduk tempatan dan dalam keadaan tertentu telah menutup peluang perniagaan penduduk tempatan. Dalam keadaan sedemikian, timbul gerakan anti Cina yang dilancarkan penduduk pribumi di Indonesia dan Filipina yang membawa tindakan keganasan. Malah pihak penjajah yang menguasai kedua-dua Negara tersebut telah cuba mengenakan sekatan ke atas orang Cina bagi menghalang monopoli orang Cina dalam perniagaan