Bincangkan kepentingan Perjanjian Kanagawa dan Perjanjian Bowring ke atas negara Jepun dan Thailand.

| Monday, May 24, 2010

Pengenalan

Abad ke 19 menandakan permulaan kepada persaingan kuasa-kuasa imperialis Barat untuk meneroka dan menguasai bahan-bahan mentah di Asia. Jepun dan Thailand merupakan dua buah negara yang menjadi sasaran Barat untuk memperluaskan penguasaan mereka dalam bidang ekonomi. Termenterainya perjanjian Kanagawa dan Bowring bermakna berakhirlah dasar isolasi yang diamalkan oleh kedua-dua buah Negara tersebut. Perjanjian-perjanjian ini telah memberi kesan yang mendalam ke atas kedua-dua buah negara tersebut dalam hubungannya dengan negara-negara Barat

Isi

Perjanjian Kanagawa telah ditandatangani antara Jepun dengan Amerika Syarikat pada 31 Mac 1854. Dengan perjanjian ini bermakna Jepun dengan secara rasminya telah menamatkan dasar pemencilan yang diamalkan sebelum ini.

Perjanjian ini juga telah membawa kepada pembukaan beberapa pelabuhan iaitu Shimoda, Hakodate dan Nagasaki kepada Negara-negara barat. Kadar cukai import dan eksport ditentukan oleh Jepun, malah Amerika Syarikat diberi layanan istimewa dengan mendapat hak wilayah asingan.

Perjanjian Kanagawa juga dianggap sebagai perintis ke arah hubungan Jepun dengan kuasa-kuasa Barat yang lain dan ini terbukti daripada beberapa siri perjanjian yang telah ditanda tangani Jepun dengan kuasa-kuasa Barat yang lain seperti Perjanjian dengan British (1854), Perjanjian dengan Rusia (1855) dan Perjanjian dengan Belanda (1856)

Dengan adanya perjanjian-perjanjian yang sebegini bermakna Jepun mula menjalin hubungan diplomatic dengan Negara British, Amerika Syarikat, Belanda, Rusia dan Perancis. Tindakan sebegini terpaksa diambil demi menyelamatkan Negara Jepun dari kuasa asing seperti yang dialami Negara China dalam Perang Candu I. Malah dasar terbuka ini telah membawa menafaat yang besar kepada Jepun dalam pelbagai aspek seperti pentadbiran, ketenteraan, ekonomi dan social terutamanya semasa era pemerintahan Maharaja Meiji. Ini bermakna Negara Jepun merupakan sebuah Negara di Asia Timur yang terselamat daripada ancaman dan pencerobohan kuasa-kuasa Barat.

Walaubagaimanapun, pembukaan Jepun kepada kuasa-kuasa Barat telah menimbulkan beberapa masalah dalam Negara. Kedatangan orang-orang Barat yang semakin bertambah dan ini menimbulkan perasaan benci orang Jepun kepada orang-orang Barat yang akhirnya membawa kepada gerakan anti Barat

Perjanjian Kanagawa juga merupakan detik awal kepada kejatuhan Shogun Tokugawa. Kelemahan pentadbiran Shogun Tokugawa telah memberi kesempatan kepada Satsuma, Toza, Chosu dan Hizen untuk bangun menentang pentadbiran Syogun. Kuasa-kuasa Barat turut menyalahkan Syogun Tokugawa berikutan gerakan anti Barat. Desakan-desakan dan tekanan-tekanan yang dihadapi ini menyebabkan akhirnya Shogun Tokugawa meletakkan jawatan dan menyerahkan kepada Maharaja Meiji.

Di Thailand pula, Perjanjian Bowring yang ditandatangani antara Thailand dengan British telah menamatkan dasar pintu tertutup yang diamalkan selama ini. Malah Thailand telah membuat perjanjian perdagangan dengan Negara-negara lain seperti Belgium, Perancis, Rusia, Portugal dan Belanda.

Disamping itu sector ekonomi Thailand berkembang dengan pesatnya. Thailand telah menjadi pengeksport utama beras dan kayu jati. Pada masa yang sama Thailand turut mengimport alat-alat ganti jentera, peralatan pengangkutan besi keluli dan sebagainya. Kegiatan ekonomi moden yang pesat ini telah membawa kepada kemerosotan kegiatan ekonomi sara diri. Penguasan ekonomi Thailand oleh orang Cina mula merosot. Kegaitan monopoli perdagangan kini diambil alih oleh pedagang-pedagang British.

Perjanjian Bowring juga telah membawa kepada pengenalan system kewangan moden. System perbankan diperkenalkan bagi memudahkan kegiatan perdagangan. Mata wang Bath mula digunakan semasa pemerintahan Raja Mongkut. Perubahan susunan kewangan kerajaan Thailand telah mengubah system cukai dan menamatkan monopoli perdagangan oleh golongan bangsawan dan kerajaan Thailand.

Kesan Perjanjian Bowring ini telah membawa kepada lebih daripada dua puluh perjanjian antara Thailand dengan kuasa-kuasa Barat yang telah membawa kesan lain iaitu kuasa Barat boleh mendirikan konsul mereka, menyebarkan agama Kristian dan kapal-kapal boleh berlabuh di pelabuhan Thailand.

Pemerintah Thailand yang dikatakan berpandangan jauh ini telah menjalankan proses pembaratan, membuka peluang perdagangan dengan kuasa asing, menamatkan pemencilan menyebabkan Thailand satu-satunya negeri di Asia Tenggara yang berjaya mengekalkan kemerdekaannya.

Penutup

Perjanjian Kanagawa dan Perjanjian Bowring telah membawa lembaran baru kepada kedua-dua negara tersebut. Menerusi perjanjian-perjanjian ini Jepun dan Thailand telah menjadi sebuah negara yang moden dan mula menjalin hubungan diplomatik dengan kuasa-kuasa Barat atas prinsip persamaan taraf.

0 comments:

Post a Comment