Perang Jawa dan Dahagi India

| Saturday, May 23, 2009

“Konflik antara nilai tempatan dengan nilai Barat telah mencetuskan Dahagi India (1857) dan Perang Jawa (1825).” Jelaskan.

Dahagi India yang tercetus di India pada tahun 1857 dan Perang Jawa yang tercetus di Indonesia pada tahun 1825 merupakan gerakan antipenjajah. Kedua-dua gerakan menentang penjajahan British di India dan Belanda di Indonesia atas sebab konflik antara nilai Barat dengan nilai tempatan.
Pembaharuan social yang dilakukan oleh Lord William Bentick di India yang pada anggapan dan pemikiran barat sebagai tradisi kuno dan merugikan telah membawa kepada penentangan terhadap Barat. Sebagai contoh amalan suttee merupakan satu adat resam yang telah berakar umbi sejak sekian lama dalam masyarakat India. Amalan ini merupakan satu pengorbanan yang dilakukan oleh si isteri di timbunan kayu mayat suami mereka semasa upacara pengebumian. Bagi British amalan ini satu jenayah besar kerana balu si mati sering kali dipaksa berbuat demikian oleh saudara-maranya. Undang-undang untuk mengharamkan amalan ini dikeluarkan pada tahun 1828.

Amalan thugee pula ialah satu sistem rompakan dan pembunuhan di jalan raya. Kumpulan-kumpulan agama ini akan mencekik pengembara sehingga mati atas nama Dewa Kali. Amalan ini juga telah dihapuskan oleh British. Begitu juga dengan amalan pembunuhan bayi perempuan.

Satu peristiwa yang menggemparkan telah berlaku apabila terdapat khabar angin yang menyatakan bahawa peluru senapang rifle enfield yang baru yang diperkenalkan oleh pihak Inggeris telah disapu dengan minyak lembu dan babi dihujungnya. Sepoi-sepoi Hindu dan Muslim berpendapat tindakan Inggeris ini menentang kebudayaan dan agama mereka dan beranggapan bahawa Inggeris cuba untuk mengkristiankan mereka.

Pengenalan Akta Pengambilan Tentera Am juga menimbulkan ketegangan di kalangan kaum Brahmin dan Rajput. Di bawah akta ini, askar-askar sepoi boleh dihantar ke merata wilayah yang jauh tanpa diberi elaun. Kebanyakan mereka ini terdiri daripada kasta yang tinggi. Mereka bimbang kasta tinggi mereka ini akan tercemar dengan berlakunya perpindahan.

Sungai Ganges dianggap suci oleh orang India. Tindakan British hendak membina tali air yang menghubungkan beberapa kawasan dengan Sungai Ganges dianggap telah mengancam kepercayaan dan kesucian agama Hindu. Pengenalan kepada system pendidikan Barat juga telah disalah ertikan oleh orang India. Mereka beranggapan bahawa British cuba mengkristiankan orang India dan menghapuskan tradisi-tradisi mereka dan system pendidikan Hindu.

Undang-Undang Lesap Waris Lord Dalhousie telah menafikan hak-hak tradisional dari segi perwarisan. Orang India terlalu marah dengan tindakan British yang menduduki wilayah-wilayah yang tiada pewaris sah.

Di Indonesia pula, Perang Jawa tercetus atas sebab pembatalan kontrak sewaan tanah oleh Belanda. Dalam kontrak tersebut, orang-orang Eropah dibenarkan menyewa tanah untuk mengusahakan tanaman sendiri. Belanda menganggap sistem sewa tanah ini sebagai satu bentuk penindasan ke atas masyarakat tempatan. Undang-undang telah diluluskan untuk membatalkan semua kontrak sewaan tanah.

Tokoh yang memainkan peranan penting dalam perang Jawa ialah Dipo Negoro. Beliau membenci Belanda kerana mempermainkan hak perwarisan takhtanya dan juga soal-soal keagamaan. Dipo Negoro sebenarnya merupakan anak sulung Amangkubuwono III. Apabila Amangkubuwono mangkat, Dipo Negoro telah diketepikan. Raffles yang memerintah Indonesia ketika itu telah melantik putera yang lebih muda iaitu Djarot sebagai pemerintah Jogjakarta. Apabila Djarot mangkat dan Indonesia diambil alih oleh Belanda sekali lagi Dipo Negoro telah diketepikan apabila anak Djarot yang baru berusia dua tahun dilantik menjadi raja menggantikan ayahda nya.

Dari segi keagamaan, Belanda tidak mengakui Dipo Negoro sebagai pemimpin agama Islam walaupun beliau disanjung tinggi oleh masyarakat tempatan. Mengikut kepercayaan tradisi orang-orang Jawa, Dipo Negoro boleh dianggap sebagai “Ratu Adil’. Dipo Negoro menjadi harapan mereka untuk membela nasib dan menyelamatkan mereka daripada segala penindasan dan kongkongan penjajahan Belanda.

Keadaan ini menjadi lebih genting lagi apabila Belanda hendak membina sebatang jalan raya di Jogjakarta yang betul-betul melalui kawasan pemakaman moyang Dipo Negoro. Beliau berasa terhina dengan tindakan Belanda ini kerana telah melanggar tatasusila dan nilai-nilai social serta agama Islam sendiri. Bagi Dipo Negora tindakan ini sudah keterlaluan lalu melancarkan Perang Jihad ke atas Belanda.

Jelas bahawa terdapat konflik antara nilai Barat dengan nilai tempatan. Kuasa-kuasa Barat tidak sensitif terhadap amalan dan kepercayaan tempatan. Mereka hanya menganggap sesuatu amalan sosial tidak berperikemanusiaan dari kaca mata mereka, sedangkan amalan-amalan sosial yang ada telah berakar umbi dalam masyarakat tempatan. Ini bermakna, British dan Belanda telah campur tangan dalam adat resam penduduk tempatan.

2 comments:

meerul said...
May 11, 2010 at 8:51 PM

kenapa x ade semua bab??

yatieujar said...
August 14, 2010 at 8:43 AM

bahagian pengenalan 1 M
isi 13 M
penutup 0 M...bahagian penutup..calon tidak boleh ulas jawapan dan bagi pandangan sendiri..

Post a Comment